Kehidupan awal Imuda

Abdul Rahim bin Muda dilahirkan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang pada 13 Disember 1959, nama Imuda diperolehi daripada nama panggilan beliau, Im, dan bapanya, Muda. Imuda merupakan anak ke-6 daripada lapan orang adik-beradik hasil perkongsian hidup bapanya, Muda bin Nordin dengan ibunya, Halijah binti Chik.

Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Khir Johari dan kemudian menghabiskan persekolahannya sehingga Tingkatan 5 di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Mertajam.Sejak kecil lagi, Imuda meminati semua bidang seni. Seawal empat tahun, beliau sudah mula terpukau melihat poster-poster wayang yang dilukis. Beliau selalu memujuk ibu bapanya menonton wayang, tetapi lebih banyak memberi perhatian kepada poster wayang daripada filem itu sendiri.Secara tidak langsung, poster-poster wayang tersebut menjadi sumber inspirasi untuk Imuda menjadi seorang pelukis.Cita-cita beliau hanya mahu menjadi seorang pelukis. Semasa masih kanak-kanak lagi, Imuda sudah memperlihatkan keupayaan untuk melukis. Ketika Darjah Enam, beliau sudah mula melukis strip kartun, sepertimana yang dilihatnya di dalam komik-komik di waktu itu. Peminatnya terdiri daripada kawan-kawan.